Hujung bulan lepas, aku ambil cuti dan berjalan ke Melaka. Aku bertolak dari KL sekitar jam 7:30 pagi. Jadi aku pun bersama-sama redah jam dengan orang-orang yang pergi kerja. Tak pasal-pasalkan. Itulah siapa suruh keluar awal pagi sangatkan. Jadi aku aku sampai ke susur masuk ke Ayer Keroh dalam pukul 8:45 macam itu.
Rancangan asalnya aku memang nak singgah sarapan di Roti Canai Kayu Arang, Melaka. Tapi yang menyedihkan rupa-rupanya warung itu tutup setiap hari Rabu. Jadi hampalah harapan kami merasa tempat viral itu. Tanpa buang masa, aku terus cari tempat untuk bersarapan. Cari punya cari, aku jumpa satu tempat yang hanya kurang 10 minit untuk sampai dari Ayer Keroh iaitu di Awang Roti Canai yang terletak di Bukit Beruang. Kalau senang nak cari, boleh setkan pencarian di Sk. Bukit Beruang. Warung ini terletak betul-betul dihadapan sekolah.
Masa sampai itu, aku macam pelik juga sebab kedai dia sedikit kecil dan nak letak kereta pula berhampiran dengan rumah-rumah orang. Tapi aku terus redah sebab masa itu sudah agak lewat nak bersarapan takut perut masuk angin pula. Jadi kami terus masuk ke dalam warung. Aku agak suka dengan suasana di warung itu sebab disana kalian akan lihat berbilang kaum yang duduk bersarapan disitu. Kedainya agak kecil tetapi ramai dengan pelanggan dan yang paling aku suka bila aroma kari menusuk ke dalam hidung aku terus buat perut aku bergelora tak sabar nak makan. Masa aku nak duduk itu, penuh semua meja, jadi aku duduk dengan dua orang wanita berbangsa cina. Dari gaya macam emak dan anak.
Aku terus lihat menu disekeliling dan menunya memang tidak banyak pilihan. Aku pesan 3 keping roti kosong dan sekeping roti telur dan set roti didatangi dengan kuah kari ikan jenahak dan aku tambah dengan sambal sotong. Fuh, memang terangkat baunya bila sampai. Sampai sahaja pesanan dimeja, aku siat roti dia, rotinya memang gebu dan harum sangat. Padahal roti canai sahajakan. Tapi jujur aku cakap roti dia rangup diluar lembut di dalam, memang aku nikmati sangat-sangat cicah pula dengan kuah kari ikan jenahak dan sambal sotong. Sambal sotong rasa pedas-pedas manis. Macam tak cukurp rasanya makan sekeping sahaja tapi memandangkan aku dalam tempoh diet, jadi aku kawal sedikit nafsu makan aku 😂😂😂. Roti telur pun sedap, masih rangup seperti roti biasa.
Aku lihat sekeliling, kebanyakan pelanggan disitu memang akan ambil roti lebih dari sekeping. Ada pelanggan pelakang aku, dia makan sampai 3 keping. Depan meja aku pasangan berbangsa cina itu siap pesan kari sekali dengan ikan jenahak. Fuh, kalau aku dah gaji memang aku pesan dengan ikan-ikan sekali. Memang tak menyesal beli.
Dari pemerhatian aku, warung ini mungkin telah lama beroperasi mungkin pemiliknya juga sudah beberapa generasi kerana keadaan warung itu masih mengekal ciri asli warung orang melayu macam duduk sarapan zaman-zaman 80-an dahulu.
Kalau pergi ke Melaka, jangan lupa singgah di warung ini ya. Memang takkan menyesal. Selamat mencuba