Sejak dari pagi lagi hati aku sayu sebenarnya sebab hari ini genap 2 tahun kepergian lelaki pertama yang aku cintai. Masih terasa ayah masih ada dengan aku dengan wajahnya yang ceria dan lawaknya yang menghiburkan. Dulu tak tahu rasanya bagaimana pedihnya kehilangan orang yang kita cintai. ingatkan rasa itu sekejap sahaja. Tapi hingga kini baru aku tahu walau bertahun-tahun sakitnya tetap terasa.
Masih segar dalam ingatan aku bagaimana pemergian ayah aku 2 tahun yang lalu. Ayah aku sebenarnya merupakan pesakit buah pinggang dan dah pun cuci darah selama dalam lebih kurang 9 tahun. Kerosakan buah pinggang adalah berpunca daripada pengambilan ubat tahan sakit yang tidak terkawal kerana sakit goutnya dahulu.
Dua minggu sebelum ayah pergi bertemu Ilahi, ayah tiba-tiba demam panas. Abang aku telefon aku minta jemputkan ayah di pusat dialisis untuk dibawa ke hospital kerana keadaan ayah agak lemah. Untuk makluman, orang yang cuci buah pinggang, kalau mereka demam, mereka tak boleh lakukan proses mencuci buah pinggang sebab takut apa-apa berlaku semasa atau selepas proses itu berjalan. Jadi ayah memang tak dapat buat dialisis.
Masa aku jemput ayah, baru aku tahu punca mengapa dia demam. Kaki ayah sebelah kiri di jari manis terluka dan agak teruk. Aku terus bawa dia ke hospital. Macam biasa hospital dikerajaan memang agak lambat. Aku punya proses dari pukul 10 pagi sehingga pukul 7 malam baru ayah dapat tempat di dalam wad. Tapi dalam situasi begini perlu kita ingat kena banyak bersabar dan tenang. Ayah sebenarnya tak mahu masuk dalam wad tapi keadaan dia yang agak membimbangkan doktor segerakan dia masuk ke dalam wad. Ayah aku masuk hospital ketika COVID-19 melanda negara. Jadi prosesnya agak renyah. Tidak ada sesi lawatan sepanjang ayah diwadkan.
Dua hari selepas ayah dimasukkan ke wad, aku mendapat panggilan dari hospital meminta aku dan mak aku datang ke hospital. Kami segera ke hospital untuk berbincang berkenaan ayah. Masa jumpa doktor itu, doktor bagi tahu kaki ayah dah dapat jangkitan kuman dan buat badan ayah menjadi lemah. Dalam tempoh 2 hari doktor dah cuba masukkan ubat antibiotik tetapi masih gagal kerana urat-urat ayah sudah mula mengeras. Ia menyukarkan ubat sampai ke tempat yang dijangkiti. Jadi doktor memberi cadangan untuk memotong kaki ayah. Alangkah sedihnya perasaan aku masa itu dengar berita dari doktor. Mak aku cuba menghadamkan apa yang doktor jelaskan dan akibat dari pembedahan yang dilakukan. Mak aku 50-50 nak buat keputusan bagi pihak ayah aku. Doktor kata, mereka tidak dapat berbincang dengan ayah sebab keadaan ayah memang separuh sedar akibat dari ubat antibiotik itu. Dengan berat hati mak aku setuju doktor memotong kaki ayah sebagai satu alternatif menyelamatkan nyawa dia.
Sayu mak aku cerita saat-saat dia masuk ke dalam bilik bedah dan doktor minta mak aku jumpa dengan ayah aku. Mak aku cerita itulah kali terakhir mak aku melihat ayah aku menangis dan mereka saling memohon maaf antara satu sama lain. Akhirnya pembedahan itu berjaya. Syukur tak terhingga Allah meminjamkan ayah aku walau hanya tempoh beberapa hari sahaja lagi.
Jumaat malam sehari sebelum pemergian ayah, aku naik ke wad dia untuk hantar kerusi roda persediaan untuk ayah bergerak kesana kemari. Aku sampai waktu maghrib ketika berjumpa dengan ayah. Masa aku sampai wajah ayah gembira dan bersinar matanya. aku terus peluk dia dan duduk berborak dengan dia. Ayah usap tangan aku dengan penuh kelembutan. Hairan aku melihat ayah sperti mahu berkata sesuatu tapi tak dilepaskan. Aku cakap dengan ayah esok ayah boleh balik kalau dah tak ada apa-apa masalah. Seronok ayah.
Keesokkannya, aku dan mak sebenarnya sudah bersedia dengan apa sahaja kemungkinan yang ingin doktor jelaskan keadaan terkini ayah. Pagi tu aku minta semua adik beradik aku yang duduk di Seremban untuk minta surat merentas negeri. Mana tahu dapat naik jumpa ayah di wad dan bawa dia pulang ke rumah. Pukul 12 tengah hari aku dan mak sampai di hospital untuk tahu berita terkini ayah. Sampai sahaja di wad seronok ayah tengok mak. Doktor sampai dan jelaskan keadaan ayah dimana doktor kata luka ayah tak sembuh dengan baik. Doktor meminta kebenaran dengan ayah dan mak untuk momotong lagi kaki ayah sehingga paras lutut. Ayah tak setuju. Dia kata cukuplah kaki yang dah potong itu. Doktor akur dengan permintaan ayah dan berlalu pergi.
Ayah kata dia teringin nak lauk mak masak ikan goreng dengan lemak kobis. Dia kata mesti sedap kalau dapat makan. Mak kata ayah kena sihat cepat kalau nak makan lauk yang mak masak. Sambil-sambil mak dan ayah aku berborak, aku pun bersihkan badan ayah sebab ayah tak mandi sejak dimasukkan ke hospital. Cuti telinga dia, lap badan dia, potong kuku ayah. Masa aku nak letakkan losyen di kaki ayah belah kanan, aku rasa kaki ayah sejuk sangat sehingga paras lutut dan tapak kaki ayah lurus. Aku dah tak sedap hati terus aku buat video call adik beradik yang lain.
Al-Fatihah buat ayah 🤲🏻💕
ReplyDelete